Semasa

Himpunan 24K Huffaz: PM Anwar mahu pelajar siapkan diri dengan ajaran Islam sebenar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Himpunan 24,00 Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi , Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pada ucapannya, Anwar mahu golongan pelajar huffaz dipersiapkan dengan ajaran Islam yang sebenar bagi berdepan kelompok Islamofobia dan pihak yang menanam kebencian menerusi Islam di negara ini.

Beliau berkata, hal ini kerana agama Islam di negara ini berada dalam persimpangan disebabkan kelompok itu yang mencemarkan kesuciannya.

“Sebab itu anak-anak (huffaz) sekalian terus tumpu dalam amalan kita. Yakin bahawa masa depan kita cemerlang. Tetapkan pendirian bahawa mesej Islam ini mesej kebenaran, risalah Islam ini risalah keadilan, menyatukan dan penuh dengan rahmah dan kasih sayang, ini yang harus kita tetapkan.

“Kita faham hak bukan Islam tetapi jangan dia bawa fahaman barat Islamofobia, tak boleh sebut pasal Islam. Jadi, kita harus berdepan pihak ini,” katanya.

Himpunan bertemakan ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’ itu akan menghimpunkan 24,000 ahli al-Quran terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara.

BACA LAGI: Pas bimbang Islam makin subur dibawah Kerajaan Perpaduan – Mohd Khairuddin

Ia turut bertujuan meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting selain memartabatkan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Pada himpunan itu Anwar turut meluncurkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) sebagai penambahbaikan kepada sistem penilaian yang bersepadu bagi mengiktiraf penghafaz 30 juzuk al-Quran.

Related Articles

Back to top button