Telusuri memori perjuangan reformasi di Himpunan Keadilan Suara Rakyat
Himpunan Keadilan Suara Rakyat, Suara Keramat ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI’ di Stadium Axiata Bukit Jalil, Jumaat ini bakal akan mengimbau segala perih jerih perjuangan dilalui Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluarga dan penyokongnya.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar pada satu sidang media pada Rabu berkata, himpunan itu bakal membawa peserta kembali ke memori perjuangan yang bermula sejak 1998.
Himpunan itu juga jelasnya akan membawa suara-suara pemegang taruh yang sebelum ini berjaya menghidupkan gerakan reformasi berkenaan sehinggalah mewujudkan ruang kerjasama antara parti bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Sebelum ini, kita tidak berpeluang menyambut perjuangan pada tarikh 20 September, jadi dalam himpunan itu nanti kita akan sambut, kenang memori serta hargai setiap perjuangan kita.
“Himpunan ini juga akan mengetengahkan ramai reformis ‘otai’ yang dahulu berani kedepan dan satu ketika dahulu mewakili rakyat.
“Sesiapa yang hadir seperti menjalani sebuah memori, itu yang kita akan ketengahkan pada Jumaat ini,” kata beliau yang pernah digelar puteri reformasi itu.
Mengulas lanjut Nurul Izzah berkata, himpunan itu juga sebagai platform untuk membangunkan negara ini dengan lebih baik.
“Kita perlu meraikan sejarah supaya ia menjadi satu lembaran pengajaran (dan daripada sejarah) itu juga kita boleh membina Malaysia dengan lebih baik.
“Walaupun apa yang berlaku dulu adalah satu detik hitam tetapi terus terang saya sebenarnya bersyukur kerana semua yang datang daripada Allah itu membawa hikmah tersendiri,” katanya.
Tarikh 20 September detik bermula gerakan reformasi tahun 1998 dengan terjadinya himpunan besar di Dataran Merdeka.
BACA LAGI: Himpunan 24K Huffaz – PM Anwar mahu pelajar siapkan diri dengan ajaran Islam sebenar
Himpunan itu berjaya menghimpunkan seluruh rakyat dari segenap pelusuk negara sehingga tertubuhnya sebuah parti politik baharu, Parti Keadilan Nasional yang selepas itu dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
20 September disisi pejuang reformis pula adalah detik hitam apabila pada tarikh itu Anwar ditahan di kediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.