Malaysia akan terus jadi pembela kepada Palestin – PM Anwar
Perdana Menteri menyatakan komitmen Malaysia untuk terus tegas dalam menyuarakan pendirian mengenai Palestin sekalipun negara Barat dan Eropah memihak kepada Israel.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung kali ini, isu Palestin dan keganasan di Gaza banyak dibincangkan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah oleh negara anggota.
“Pandangan Barat, AS dan negara Eropah tiada lain iaitu 7 Oktober (serangan Hamas ke atas Israel), Iran serang, Hizbullah serang, maknanya Israel tidak serang apa-apa.
“Jadi, sebab itu kita harus tegas dengan pendirian kita. Mustahil (mereka) tidak faham dan dengar, jutaan anak muda dan rakyat bangkit di kota besar, menyatakan keganasan sudah berlaku sejak 1948.
“Kita harus terus menggalas tugas ini, suarakan aspirasi hak rakyat Palestin secara adil. Kita tidak setuju dengan keganasan tetapi dengan syarat hak itu dipatuhi,” katanya.
Anwar berkata begitu kepada media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane, Loas.
BACA LAGI: Malaysia gesa UNSC tegas, henti segera kekejaman Israel di Palestin, Lubnan
Sementara itu Anwar menegaskan Malaysia berpendirian tidak harus ada sebarang pengecualian terhadap mana-mana negara yang melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kita mengutuk keras kekejaman ini dan penting untuk kita suarakan dengan tegas, berdepan dengan semua negara yang hadir, termasuk Setiausaha Negara AS, Antony Blinken,” katanya merujuk keganasan dilakukan rejim Israel kepada Gaza dan Lubnan.