Semasa

Golongan pelajar dapat manfaat besar dari Belanjawan 2025

Peruntukan RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang diumum Perdana Menteri melalui Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan yang kukuh terhadap sektor pendidikan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, peruntukan tertinggi dalam sejarah itu menekankan semua kanak-kanak akan mendapat manfaat besar termasuk melalui pembinaan sekolah baharu.

Antara pengumuman penting dalam Belanjawan itu adalah pembinaan 11 Pusat Permata baharu yang menyediakan pendidikan prasekolah dan intervensi awal kanak-kanak autisme serta penubuhan dua sekolah tertumpu kepada kanak-kanak berkeperluan khas di Johor dan Sabah.

“Peruntukan besar itu juga memastikan tiada anak-anak kita ketinggalan dan mereka akan mendapat manfaat daripada inisiatif seperti pembinaan sekolah baharu, surau, dan penambahbaikan sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

“Terdapat komitmen lain berkaitan kebajikan kanak-kanak, bantuan persekolahan dan (peningkatan) peruntukan untuk Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT),” katanya.

Fadhlina berkata begitu pada sidang media selepas melancarkan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat memaklumkan sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.

Selain itu, RM1 bilion dikhususkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah, terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur, termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas.

RM1 bilion lagi dikhususkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak, manakala 44 sekolah baharu akan mula dibina.

Bagi memastikan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman, Perdana Menteri berkata, Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar dengan peruntukan RM100 juta ringgit. Projek Point of Presence (POP) diteruskan dengan peruntukan lebih RM800 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkata, kerajaan akan menyediakan 17 jenis bantuan pendidikan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.3 bilion, termasuk RM2 bilion untuk bantuan makanan asrama, dan RM870 juta untuk program Rancangan Malaysia Tambahan (RMT) yang memberi manfaat kepada 860 ribu orang murid.

Sebanyak RM800 juta disediakan untuk bantuan awal persekolahan kepada kesemua 5.2 juta murid tahun satu sehingga ke tingkatan lima tanpa mengira status pendapatan ibu bapa.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI terus perkasa syiar Islam melalui Belanjawan 2025

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan itu. Secara keseluruhan, belanjawan memenuhi keperluan semua anak-anak kita.

“Justeru, kami berharap komitmen diberikan ini selaras dengan kualiti pendidikan yang dihasratkan negara,” katanya .

Related Articles

Back to top button