Selangor masukkan pelancongan sukan dalam kalender TMS25
Pelancongan sukan akan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan kerajaan Selangor tahun depan bagi merancakkan sambutan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS25).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai aktiviti sukan telah dan akan diadakan di Selangor yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kita sedang mempertimbangkan untuk memasukkan dua acara dalam kalendar tersebut, iaitu berbasikal dan pickleball.
“Selain itu, untuk sektor pelancongan sukan, kita mempunyai dua tapak paragliding di Jugra dan Kuala Kubu Bharu,” katanya kepada media selepas melancarkan logo Tahun Melawat Selangor 2025 di pavilion Tourism Selangor sempena MotoGP Malaysia 2024 di Sepang pada Ahad.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad.
Sementara itu tambahnya, Kerajaan Negeri bakal menambah peruntukan untuk sektor pelancongan melalui belanjawan 2025.
“Saya akan umumkan dalam belanjawan beberapa tambahan atau tambah nilai yang kita akan masukkan dalam pembangunan program pelancongan dan juga aktiviti pelancongan demi menarik pelancong sempena dengan Tahun Melawat Selangor 2025.
BACA LAGI: Selangor akan usaha tangani isu pemilikan unit kediaman strata bermasalah
“Tahun sebelum ini kita belanja RM5.3 dan RM5.5 juta. Untuk tahun ini, persediaan untuk tahun depan, tahun depan saya akan umum dalam belanjawan. Insya- Allah ada penambahan”, katanya.
TMS2025 bertemakan ‘Surprising Selangor’ dengan mensasarkan kehadiran 8 juta pelancong.
Selangor bukan sekadar menawarkan pelancongan moden namun turut memiliki pelbagai pilihan lokasi pelancongan estetik.