Semasa

KPKT digesa bina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan luar bandar

Kerajaan dicadang supaya membina rumah mampu milik berdasarkan harga yang mampu dimiliki rakyat miskin dan bukan mengikut kehendak syarikat pemaju.

R Yuneswaran (PH-Segamat) pada sesi perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, langkah itu dapat memastikan golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri berbanding terpaksa menyewa sehingga puluhan tahun.

“Apakah kita membina rumah untuk orang kaya dan golongan pertengahan saja, bagaimana orang biasa dengan pendapatan sebanyak RM1,000 atau RM2,000…Apakah mereka tidak layak memiliki rumah?

“Ini adalah persoalan sangat besar. Apakah kerajaan tidak boleh membina rumah ikut kapasiti atau jumlah gaji yang mereka perolehi?

“Kita (sepatutnya) membina rumah berdasarkan keperluan rakyat bukannya membina rumah dan meminta mereka membayar berdasarkan apa yang dimahukan pemaju,” katanya.

Pada masa sama, Yuneswaran menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan kaji selidik bagi membina lebih banyak rumah mampu milik khususnya di kawasan luar bandar.

Langkah membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan luar bandar tegasnya mampu mengawal migrasi penduduk ke bandar.

Melalui Belanjawan 2025, KPKT menerima peruntukan sebanyak RM5.934 bilion untuk tahun depan berbanding RM5.647 bilion pada 2024 dengan peningkatan 5.08 peratus iaitu bersamaan RM287.4 juta.

Menteri KPKT, minggu lalu mengumumkan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) bermula tahun hadapan.

BACA LAGI: KPKT jenamakan semula kediaman PPR, tingkat kemudahan untuk penduduk

PRR akan menjadi kawasan perumahan yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami, mempunyai daya maju komersial berkualiti, ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain.

Beliau turut mengumumkan keluasan lantai kasar minimum PRR ditetapkan adalah 750 kaki persegi dengan harga jualan baharu RM60,000 seunit bermula 2026/2027 selepas projek baharu siap.

Related Articles

Back to top button