Negeri

Port Dickson bakal dibangunkan sebagai koridor ekonomi pelancongan

Kementerian Ekonomi melihat potensi untuk membangunkan Port Dickson sebagai koridor pelancongan dan perkhidmatan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia sebagai inisiatif strategik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi khususnya di kawasan tersebut dan satu rangka tindakan ke arah itu dibangunkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Kita kena terima hakikat bahawa kemudahan dan produk pelancongan kita perlu dinaik taraf dengan segera dan ia mesti bertaraf dunia.

“Saya akan buat tindakan susulan dengan kerajaan negeri untuk membangunkan rangka tindakan itu. Usaha ini penting kerana minat pelabur asing untuk membangunkan sektor pelancongan dalam skala besar di sini adalah sangat tinggi.

“Usaha membangunkan koridor ini dapat dilakukan bersama semua pihak walaupun Kerajaan Persekutuan tidak akan mewujudkan pihak berkuasa koridor baharu tetapi ia boleh dibangunkan secara terus antara kerajaan negeri dan kementerian lain,” katanya pada Sesi Libat Urus (SLU) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Negeri Sembilan di Port Dickson pada Selasa.

Turut hadir ke sesi tersebut adalah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu menurut Rafizi berkata, negeri ini berada di landasan yang baik dalam sektor ekonomi.

BACA LAGI: Kementerian Ekonomi bangunkan rangka kerja strategi ekonomi biru

Bagaimanapun jelasnya, dengan mengambil kira faktor kawasan satelit kepada Lembah Klang, ia perlu dimanfaatkan sebaiknya dari segi pembangunan perbandaran, perindustrian dan industri sokongan lain.

“Negeri Sembilan berpotensi untuk lebih maju sebagai pusat pelancongan terutamanya di Pantai Barat, jajaran pantai yang panjang boleh digunakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di sini,” katanya merujuk rancangan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghubungkan Banting melalui Port Dickson, Melaka ke Gelang Patah (Johor).

Related Articles

Back to top button