Politik

Anwar gesa KEADILAN segerakan pemilihan parti, sebagai menjunjung prinsip demokrasi

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemilihan parti itu diadakan segera.

Perkara itu antara inti pati dalam ucapan penangguhan beliau pada Kongres Nasional Khas parti itu yang berlangsung di Shah Alam pada Ahad.

“Selaku parti yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi harus segera mengadakan pemilihan bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Anwar yang juga Perdana Menteri sementara itu menasihati pimpinan muda supaya tidak gelojoh dan menghargai pengalaman getir pemimpin terdahulu yang dihina, ditekan dan dianggap sebagai musuh negara suatu ketika lalu yang mengizinkan parti itu kukuh bertapak pada saat ini.

Kongres khas KEADILAN yang diadakan secara hibrid itu bertujuan untuk meminda perlembagaan parti itu yang antara lain meningkatkan jumlah perwakilan bagi mengundi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat.

Lebih dua pertiga perwakilan telah menyatakan persetujuan sewaktu pengundian, sekali gus meluluskan usul pindaan perlembagaan termasuk penetapan prinsip penetapan kuota gender dan etnik.

Sementara itu Anwar menerusi ucapannya turut menegur tindakan segelintir pimpinan dan Ahli Parlimen KEADILAN yang terperangkap dalam sentimen dimainkan pembangkang.

BACA LAGI: Kongres KEADILAN 2024 dilangsungkan sebelum pada suku pertama tahun depan

“Pimpinan dan Ahli Parlimen KEADILAN seharusnya bingkas menjawab dan melawan dakwaan pembangkang dengan fakta, umpamanya kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dalam kes Batu Puteh.

“Pimpinan juga perlu segera memberi penjelasan pada rakyat terhadap sentimen dangkal kononnya Melayu dan Islam terancam ketika ini, sedangkan hakikatnya hanya mereka yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI,” katanya.

Related Articles

Back to top button