Parlimen

Delegasi Parlimen jelajah ASEAN sebagai persediaan tuan rumah AIPA

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berhasrat memastikan Malaysia menjadi tuan rumah terbaik Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA).

Justeru jelasnya, Delegasi Parlimen Malaysia akan mengadakan kunjungan ke negara anggota AIPA bermula 13 Januari depan bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama rantau ASEAN sebelum acara kemuncak itu berlangsung September nanti.

“Mulai 13 Januari ini, saya akan melawat semua negara ASEAN untuk berbincang dengan mereka sebelum mesyuarat berlaku, saya akan tour seluruh negara ASEAN untuk pastikan kita menjadi tuan rumah yang terbaik,”kata Johari yang juga Presiden AIPA ke-46.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyampaikan sumbangan bantuan mangsa banjir di Masjid Safuan, Pekan Jeniang pada Selasa.

Johari sebelum ini memaklumkan,Malaysia sebagai tuan rumah akan menganjurkan beberapa sesi mesyuarat bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama antaranya tenaga boleh diperbaharui, keterjaminan makanan dan Kecerdasan Buatan (AI).

BACA LAGI: 2 RUU tangani isu buli diluluskan di Dewan Negara

Berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini, beliau yakin bahawa acara yang diadakan itu nanti mendapat sambutan baik dalam kalangan negara anggota ASEAN .

Beliau turut mencadangkan supaya beberapa sesi mesyuarat diadakan di luar Kuala Lumpur supaya Malaysia dapat mempromosikannya dan sekaligus memberi manfaat besar dengan kehadiran pemimpin-pemimpin ASEAN serta lantikan pemerhati.

Related Articles

Back to top button