Jawi diarah siasat aktiviti curiga di kubur – Menteri Agama
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah diarah untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan perhimpunan sekumpulan individu di sebuah tanah perkuburan di ibu kota baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian tersebut dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa agama Islam.
“Pihak yang mempunyai maklumat adalah dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada Jawi bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Setapak hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira 10.05 pagi Sabtu.
Kas tersebut jelasnya dirujuk ke pihak berkuasa agama untuk siasatan selanjutnya.