PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membawa khabar gembira dalam sektor ekonomi negara, hasil lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK) yang berakhir pada 19 Januari.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia antara
lain termasuk Malaysia berkemungkinan menjana potensi pelaburan bernilai RM11 bilion serta eksport bernilai RM500 juta ke UK.
Beliau berkata, potensi pelaburan itu membabitkan sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, ekonomi digital, automotif, perbankan, hartanah dan petrokimia.
“Selain itu, potensi eksport yang dikenal pasti merangkumi produk peralatan dan komponen pesawat, perabot serta makanan dan minuman,” katanya menerusi hantaran di laman X.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa sehingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UK mencecah RM15.3 bilion, dengan eksport bernilai RM7.83 bilion dan import sebanyak RM7.47 bilion.
Dari sudut pelaburan, beliau berkata, sehingga September 2024, sebanyak 486 projek pembuatan oleh syarikat UK telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM12.49 bilion. Projek ini juga berjaya menjana sebanyak 41,630 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“UK terus kekal sebagai rakan dagangan keempat terbesar Malaysia di Eropah, memperkukuh hubungan ekonomi yang strategik antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut menyertai delegasi Perdana Menteri dalam lawatan kerja atas jemputan Perdana Menteri UK, Keir Starmer yang berlangsung mulai 15 hingga 19 Januari.
UK adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara bernilai RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion) sehingga November 2024.