AnwarNasional

TVET diperkasa menerusi kerjasama Malaysia-Belgium

PETALING JAYA: Elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pendidikan terus diperkasa menerusi kerjasama antara Malaysia dan Belgium.

Terdahulu, pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Belgium, Alexander De Croo berlangsung selama satu jam di Pejabat Perdana Menteri Belgium di Brussels.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara dua negara itu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan serta pendidikan seperti TVET.

Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa, kuota 5,125 peserta bagi program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT) dapat ditambah, sekali gus memberi peluang lebih ramai peserta tempatan mengikuti program berkenaan di China.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyuarakan perkara itu dengan mengambil kira hubungan baik Perdana Menteri bersama pemimpin tertinggi China.

MCYTT bermula sejak 2 Julai tahun lalu memfokuskan penghantaran bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia ke China.

Peserta MCYTT akan menjalani latihan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam pelbagai bidang antaranya teknologi kenderaan elektrik, solar, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Sehingga kini 1,776 bakat TVET tempatan dalam kalangan belia menjalani latihan di China menerusi institusi TVET serta industri di negara berkenaan.

Pada Disember tahun lalu, Ahmad Zahid dilapor berkata bahawa, TVET bukan sahaja membuka peluang kerjaya tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Untuk rekod, peruntukan TVET dinaikkan kepada RM7.5 bilion selari dengan Dasar TVET Negara, ia meningkat berbanding RM6.8 bilion pada tahun 2023 untuk memastikan penyelarasan pelaksanaan secara holistik bermula tahun 2024 sehingga 2030.

Related Articles

Back to top button