Politik

Pemilihan PKR: Wei Kiat dakwa wujud cubaan ahli MIC menyusup masuk parti PKR

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat mendedahkan wujudnya gerakan terancang oleh beberapa anggota parti MIC yang cuba menyusup masuk ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa proses pemilihan di bahagian PKR Selayang tahun ini.

Dalam satu kenyataan, beliau mendedahkan bahawa seorang individu bernama Sivanyanam Nallathamby, yang didaftarkan sebagai anggota PKR pada 24 Oktober 2024, sebenarnya merupakan Ketua Bahagian MIC Selayang.

Menurutnya, situasi itu disifatkannya sebagai amat membimbangkan.

“Proses pendaftaran sebagai anggota PKR suatu yang mudah atau boleh dilakukan secara cuai.

“Ia melibatkan pengesahan melalui sistem eKYC, termasuk pemuatan naik gambar kad pengenalan dan pengesahan wajah secara langsung (live photo).

“Maka, jelas bahawa pendaftaran ini dilakukan dengan pengetahuan dan kerelaan pihak berkenaan,” katanya.

Wei Kiat menegaskan bahawa tindakan itu bukanlah kes terpencil tetapi sebahagian daripada gerakan terancang untuk menyusup masuk ke dalam PKR.

Beliau menyifatkan campur tangan sebegini sebagai ancaman serius terhadap kestabilan parti.

“Ini menimbulkan kebimbangan serius bahawa wujud satu operasi yang lebih besar dan tersusun dari luar untuk menggugat kestabilan parti dari dalam,” ujarnya.

Sebagai calon Ketua Cabang Selayang, Wei Kiat memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat satu laporan polis dan akan mengemukakan aduan rasmi kepada pimpinan pusat PKR dan MIC.

“Semua pihak yang terlibat dalam operasi ini mesti dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kita mesti pastikan proses Pemilihan PKR dapat berjalan secara adil dan bebas daripada unsur luar yang berniat jahat,” tambahnya.

Wei Kiat mengingatkan bahawa PKR bukanlah alat untuk mana-mana pihak luar dan pihaknya akan terus mempertahankan parti daripada sebarang bentuk pencerobohan politik.

Related Articles

Back to top button