AnwarNasional

Anwar bakal bertemu Ketua Tentera Myanmar, bincang selesaikan isu kemanusiaan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan pertemuan penting dengan Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, di Bangkok, Thailand, pada 17 April depan.

Pertemuan itu menandakan kali pertama kedua-dua pemimpin bertemu sejak Anwar memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN.

Menurut Anwar, perbincangan akan memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal termasuk desakan agar junta Myanmar melanjutkan tempoh gencatan senjata.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Myanmar.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Myanmar yang menyambut baik cadangan pertemuan.

“Dengan hanya satu panggilan telefon, beliau terus bersetuju untuk bertemu, walaupun 17 April adalah cuti keagamaan utama di negara itu,” katanya.

Anwar berkata, kesediaan Min Aung Hlaing untuk berlepas ke Bangkok demi perbincangan menunjukkan penghargaan terhadap hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Beliau turut menekankan kepentingan menghentikan serangan ketenteraan yang menyebabkan penderitaan rakyat Myanmar.

“Saya maklumkan bahawa kita ingin membantu kerana kita adalah jiran dan sebahagian daripada ASEAN.

“Tapi saya juga minta supaya hentikan serangan ketenteraan kerana rakyat sedang menderita.

“Dua hari selepas itu, gencatan senjata diumumkan, mungkin bukan atas cadangan saya semata-mata.

“Namun, harapan saya dalam pertemuan nanti, gencatan itu boleh dilanjutkan supaya kita dapat hantar pasukan keselamatan dan SMART ke sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan di Myanmar.

Misi itu termasuk pembinaan sebuah hospital medan yang akan dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Selain pertemuan dengan Min Aung Hlaing, Anwar juga dijadualkan mengadakan mesyuarat bersama Penasihat Jawatankuasa ASEAN serta Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra pada tarikh yang sama.

Mesyuarat itu akan memberi fokus kepada penyelesaian isu Sungai Golok dan Rantau Panjang termasuk pembinaan jambatan serta kerja-kerja pengorekan dan pembersihan sungai yang menyebabkan banjir di Selatan Thailand dan Kelantan.

Related Articles

Back to top button