Usai lawatan negara ke Malaysia, Presiden China ke Kemboja

SEPANG: Presiden China, Xi Jinping dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10.04 pagi tadi dengan menaiki Pesawat Air China.
Xi akan meneruskan lawatan ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Kehormat) mengadakan kawalan kehormatan untuk Xi sempena upacara pelepasan di Kompleks Bunga Raya, memetik laporan media tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada delegasi tersebut.
Presiden Xi memulakan lawatan negara pada Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Semalam, Xi diberi sambutan negara, diikuti dengan sesi menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Seri Paduka Baginda.
Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana pada Rabu, Anwar dan Xi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China. Majlis itu diikuti dengan jamuan rasmi yang dianjurkan Anwar bagi meraikan kunjungan Xi.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungan Presiden China ke tiga negara Asia Tenggara, yang telah membawanya ke Vietnam sebelum ini. Ini adalah siri lawatan negara pertama beliau pada tahun ini.