Kelemahan Muhyiddin sendiri jadi punca 4 ahli parlimen alih sokongan – Shahrir Samad
Tindakan empat walik rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpunca dari kelemahan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Veteran Umno, Shahrir Samad melalui catatan di Facebooknya berkata, Muhyiddin selaku presiden Bersatu sepatutnya menjadi ketua pembangkang, malah didakwa memandang remeh Parlimen sebagai institusi terpenting dalam sistem politik negara.
Kegagalan itu jelas Shahrir telah menyebabkan kepimpinan politik Pengerusi PN itu tidak dirasai dalam Parlimen.
“Kalaulah Muhyidin, sebagai pengerusi PN mengisi jawatan ketua pembangkang, tentunya beliau dapat benar-benar memimpin Ahli-Ahli Parlimen PN dalam Parlimen.
“Kehadiran pemimpin mereka di baris hadapan dalam ‘perang politik’ di dalam Dewan Rakyat pastinya akan memberangsangkan mereka,” kata bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu dipetik.
Empat Ahli Parlimen Bersatu iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan sokongan kepada Anwar dan kerajaan.
Ia dilihat satu tamparan hebat terhadap Muhyiddin yang sebelum ini berulang kali cuba mencalarkan kewibawaan Anwar.
BACA LAGI: Lebih ramai akan sokong PM Anwar jika Ketua Pembangkang tak mahu bincang peruntukan
Sementara itu tambah Shahrir, keputusan pembangkang menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dianggap satu “kesilapan”.
“Ini adalah satu sebab mengapa Ahli-Ahli Parlimen parti itu tidak segan silu beralih sokongan kepada kerajaan,” katanya yang juga bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
Beliau berkata, ketika Umno pertama kali menjadi pembangkang di Dewan Rakyat pada 2018, jawatan ketua pembangkang diserahkan kepada Ismail Sabri Yaakob.
“…dan kecelaruan dalaman Umno dan BN turut juga tercetus sehingga DS (Datuk Seri) Ismail sebagai naib presiden Umno pula yang menjadi perdana menteri ke-9,” tambahnya.