Hospital Al-Shifa di Gaza tidak lagi berfungsi sebagai pusat perubatan – WHO
Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza tidak lagi beroperasi sebagai pusat perubatan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad.
“Malangnya, hospital terbabit tidak dapat berfungsi sebagai sebuah hospital lagi. Dunia sepatutnya tidak boleh berdiam diri di saat hospital yang sepatutnya menjadi tempat selamat, berubah menjadi tempat kematian dan kemusnahan,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tedros di platform X.
Beliau berkata sejak tiga hari lalu, kemudahan itu kekurangan bekalan elektrik dan air serta capaian internet yang lemah, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan penting.
“Malangnya, jumlah kematian pesakit telah meningkat dengan ketara,” katanya sambil mengulangi gesaan gencatan senjata di Palestin. Angka kematian akibat serangan Israel sejak 7 Oktober kini melebihi 11,100, termasuk lebih 8,000 wanita dan kanak-kanak, menurut pejabat media kerajaan di Gaza pada Ahad.
Terdahulu, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata keadaan di Hospital Al-Shifa adalah “buruk dan berbahaya”.
“Dunia tidak boleh berdiam diri manakala hospital, yang sepatutnya menjadi tempat selamat, berubah menjadi adegan kematian, kemusnahan, dan keputusasaan,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam siaran di X, sambil menambah bahawa Al-Shifa “tidak berfungsi sebagai hospital lagi.”
Tiga jururawat terbunuh di Hospital Al-Shifa sejak Jumaat dalam kejadian pengeboman dan pertempuran Israel berhampiran kompleks itu, kata agensi bantuan PBB di wilayah Palestin.
12 pesakit termasuk dua bayi pramatang juga telah meninggal dunia sejak permulaan gangguan bekalan elektrik, manakala infrastruktur kritikal, termasuk kemudahan kardiovaskular dan wad bersalin, telah rosak teruk, menurut agensi PBB.
Kementerian kesihatan Gaza mengatakan bahawa tiga bayi baru lahir pramatang telah meninggal dunia. – Bernama-Anadolu
Baca lagi: