Mahkamah

Hukuman mati mandatori kuat kuasa, hukuman gantung, penjara sepanjang hayat diketepikan

Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung dan pemenjaraan sepanjang hayat terhadap 11 banduan termasuk dua lelaki warganegara Thailand atas kesalahan mengedar dadah selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Permohonan semakan semula hukuman mati yang dikemukakan oleh banduan akhir hari ini di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya menggantikan kedua-dua hukuman itu dengan hukuman penjara seumur hidup iaitu 30 tahun manakala dua daripadanya dikenakan 12 kali sebatan kerana berumur di bawah 50 tahun.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan mereka.

Pada prosiding itu, mahkamah tertinggi negara mengetepikan hukuman mati masing-masing terhadap dua rakyat Thailand, Ouseng-Same-Ae, 55, dan Mama Sobri Useng, 52, dan menggantikannya dengan hukuman penjara 30 tahun.

Mereka terlepas hukuman sebatan kerana berumur melebihi 50 tahun.

Sementara itu, lima lagi banduan yang juga dijatuhi hukuman gantung turut mendapat `peluang kedua’ apabila mahkamah menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun.

Mereka ialah Teh Hock Leong, 52, Mohd. Salleh Yunos, 50, Wan Marzuki Wan Abdullah, 46, Wan Mohd. Azman Hassan, 50, dan Nazarrimi Sahib, 46.

Wan Marzuki dan Nazarrimi masing-masing dikenakan sebatan minimum 12 kali.

Sementara itu, empat yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat iaitu Zulkipli Arshad, 48, Wan Yuriilhami Wan Yaacob, 60, Ghazalee Kasim, 53, dan Mohamad Junaidi Hussin, 52, diringankan kepada penjara 30 tahun.

Keempat-empatnya yang sebelum ini dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, memfailkan petisyen kepada Lembaga Pengampunan yang mana hukuman gantung diringankan kepada penjara sepanjang hayat.

Kesemua 11 lelaki itu disabitkan oleh Mahkamah Tinggi berlainan atas hukuman masing-masing kerana kesalahan mengedar dadah pada waktu dan tempat berbeza melibatkan berat dadah di antara 93.7 gram dan 50.6 kilogram.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button