Anwar

APEC 2023: PM Anwar tiba di San Francisco, fokus perkukuh kerjasama ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di San Francisco, Amerika Syarikat bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Sooperation (APEC).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia akan memberi komitmen ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi, memantap kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif.

“Ia juga merupakan peluang terbaik negara untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai kedudukan ekonomi global semasa dan mendengar serta memberi pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan-usahawan dan para pemimpin APEC.

“Ruangan ini juga akan saya gunakan bagi mengetengahkan keadaan serta penderitaan yang menimpa warga Palestin saat ini, selain meraih dukungan global, merangkul serta memperhebat usaha mempermudah akses dan bantuan kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan menyampaikan pidato umum bertajuk ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia’ di Universiti California, Berkeley.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan sepanjang penglibatan Perdana Menteri dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dan di pelbagai platform pelbagai hala dan dua hala, Perdana Menteri berhasrat untuk mengetengahkan situasi di Palestin, untuk meraih sokongan global, akses kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil.

Perdana Menteri juga akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button