Politik

Kerajaan Perpaduan Pahang kukuh kerjasama melalui MOU

Kerajaan Perpaduan di Pahang memperkukuh hubungan antara parti apabila menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama pada Ahad.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perjanjian bertulis itu sebagai bukti komitmen kedua-dua pihak dan akan menjadi rujukan untuk pemimpin-pemimpin akan datang.

Ia juga dapat memastikan kerjasama tersebut akan menjadi lebih mantap supaya memudahkan perancangan untuk tindakan selanjutnya terutamanya dalam kesefahaman politik.

“Antara kami berdua, tiada masalah, tapi untuk pemimpin-pemimpin akan datang sebab kita mahu perjanjian ini seboleh-bolehnya berkekalan untuk selamanya.

“Jadi ada rujukan bertulis. Ia memudahkan untuk generasi akan datang… tempoh perjanjian bergantung jika ada ketidaksetujuan mungkin akan adakan rundingan lebih lanjut,” kata Menteri Besar Pahang itu.

BACA LAGI: Dakwaan Orang Asli Pahang terpinggir hanya tohmahan pembangkang – Wan Rosdy

Beliau sebelumnya menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari di sebuah hotel dekat Genting Highlands pada Ahad.

Sementara itu Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menyatakan keyakinan perjanjian itu akan menjadi model kepada bentuk-bentuk kefahaman yang lain selepas ini.

“Perjanjian persefahaman ini dibincangkan antara kedua-dua pasukan peguam dan sedikit sebanyak templat mengikut bagaimana Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan cuba seimbangkan dengan situasi di Pahang.

“Jadi secara asasnya rujuk kepada kerjasama kerajaan Pusat yang hasilkan kerajaan stabil dan mahukan kestabilan itu wujud di Pahang,” tambah beliau yang menyifatkannya sebagai satu langkah politik yang sihat.

Related Articles

Back to top button