PM Anwar bincang dengan mufti penganjuran konsert Coldplay
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan mufti Wilayah Persekutuan berhubung penganjuran Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang kini didesak untuk dibatalkan oleh pelbagai pihak.
Anwar berkata, terdapat pertikaian berhubung kewajaran konsert tersebut tidak diteruskan kerana Coldplay dikatakan antara kumpulan yang menyokong Palestin susulan serangan oleh rejim zionis Israel.
Katanya, sekiranya terdapat isu-isu lain melibatkan kumpulan penyanyi antarabangsa itu, beliau juga akan membincangkan hal tersebut dengan mufti.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan garis masa perbincangannya mengenai konsert berkenaan.
“Coldplay ini antara kumpulan yang menyokong Palestin, jadi ada masalah sikit (mengapa harus dibatalkan). Kerajaan lalu telah luluskan juga. Jadi, saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini.
“Kerana ada pelobi gerakan dari Palestin yang menyokong dan memberi pandangan kepada Menteri Luar dan pejabat saya yang menyuarakan mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan persembahan?
“Tetapi, kalau perkara ini dibangkitkan kerana ada beberapa isu lain yang kita tidak setuju itu akan saya bincang semula,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, maestro muzik, Datuk Ramli MS berpandangan, banyak perkara perlu dipertimbangkan sekiranya terdapat desakan membatalkan konsert berskala besar seperti Coldplay.
Menurut Ramli, pihak yang meminta konsert ini dibatalkan perlu melihat dalam konteks menyeluruh agar ia dilihat lebih signifikan.
“Sebenarnya yang nak konsert ini dibatalkan adalah mereka yang tak beli tiket. Bila kita anjurkan sebuah konsert, ia melibatkan banyak pihak.
“Sejujurnya sukar untuk saya menjawab tentang isu ini kerana seperti yang saya cakap ia melibatkan banyak pihak.
“Kita kena lihat dari konteks apa mereka ingin batalkan konsert ini. Adakah dari segi agama? Budaya? Tingkah laku? Bisnes? Ekonomi?
“Jika semua ini memberikan respon yang negatif, barulah boleh dipertimbangkan untuk dibatalkan,” katanya.
Baca lagi: