KSM sedang rangka dasar berkaitan latihan industri – Timbalan Menteri
Kerajaan sedang merangka sebuah dasar untuk menyelaraskan latihan industri bagi memudahkan kolaborasi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dengan keperluan industri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kementerian melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sedang menyediakan kertas kerja berkenaan latihan industri di setiap peringkat yang bakal dibentang di kabinet pada masa terdekat.
“Buat masa sekarang, kementerian sudah siap merangka dasar mengenai latihan industri serta berbincang mengenai jumlah elaun yang bersesuaian untuk diberikan kepada para pelajar. Bagaimanapun, kertas kerja tersebut masih lagi dalam penelitian.
“Namun, kami berharap agar kabinet dapat mempertimbangkan dasar tersebut supaya ia boleh menjadi kenyataan,” jelasnya.
BACA LAGI: Kemasukan dalam bidang TVET capai tahap tertinggi – KPT
Mustapha berkata begitu ketika ditemui di Majlis Anugerah Penghargaan Program Latihan Industri Berstruktur Kebangsaan (MySIP) di Aloft Hotel, KL Sentral pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai dasar yang dirangka itu, Mustapa berkata, ia bagi mengelakkan pelajar daripada menjadi mangsa ‘buruh percuma’ atau menerima elaun dengan jumlah yang kecil dan tidak sepadan kerja yang dilakukan.