Semasa

Menteri digesa kerap turun padang, lawan propaganda penunggang agama

Semua jemaah menteri diminta lebih kerap turun ke bawah bagi bertemu rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penting untuk menteri dan timbalan menteri turun padang untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan isu-isu nasional yang berlaku.

“Kita berdepan dengan permasalahan dalam negara yang terus menghangatkan (situasi politik) termasuk dalam isu kaum dan fanatik agama.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa (ada pihak) mencanangkan dengan bawa ayat al-Quran dan hadis bahawa Islam terancam di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Kongres yang mengangkat tema “Memaknai Reformasi, Menjulang Madani” itu menghimpunkan 2,400 perwakilan dari sayap parti selain turut disertai 1,500 perwakilan, ia turut dihadiri pemimpin utama parti gabungan kerajaan perpaduan serta 46 perwakilan kedutaan asing.

Antara pemimpin parti gabungan kerajaan dilihat hadir antaranya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Anwar menyatakan kekecewaan terhadap sikap pembangkang yang menanam persepsi Islam terancam dengan mengaitkan isu hukum syariah dicabar di Kelantan dan penganjuran konsert artis luar negara di Malaysia untuk menyerang kerajaan.

BACA LAGI: Jangan putarbelit, petisyen Nik Elin tak lemahkan kedudukan Islam – Tengku Maimun

“Saya tanya berulang kali di (sidang) Parlimen di mana terancamnya (Islam)? Oh (katanya) kerana ada adegan dan pertunjukan pop di stadium. Saya jawab semasa kamu perintah ada ke tidak?

“Oh (katanya) kerana dicabar hukum syariah di Kelantan. Sebelum ia dicabar di Kelantan pada Mei 2022, ia (lebih awal) dibuat di Selangor pada 2021.

“Siapa Perdana Menteri waktu itu, siapa menteri undang-undang? Di mana pemimpin dari parti Islam yang dalam kerajaan ketika itu, mengapa dia tidak mengambil tindakan. Tidak ada suara dan sekarang seolah-olah kita yang menghalang,” ujarnya.

Anwar menjelaskan, dalam isu di Kelantan itu sepertimana disebut Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan hanya mahu menentukan sama ada negeri ada kuasa atau sebaliknya untuk memperkenalkan beberapa undang-undang terutama yang membabitkan jenayah.

“Ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan Persekutuan. Dalam kes di Kelantan undang-undang dibuat oleh negeri telah dicabar. Isu dia apakah perkara ini di bawah kuasa negeri atau kuasa Persekutuan.

“Jadi biar Mahkamah Persekutuan memutuskan. Dia (mahkamah) tidak berbincang tentang hukum syariah itu, dia putuskan tentang kuasa negeri membuat undang-undang.

“Sekarang Islam terancam (jadi) propaganda penunggang-penunggang agama di negara kita. Jadi saudara-saudara (jemaah menteri) mesti turun ke bawah, jawab masalah ini kerana fakta itu menyebelahi kita dan fakta itu dibohongi oleh mereka,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button