Politik

Saifuddin selar pihak cuba kelirukan rakyat dengan propaganda ‘Islam terancam’

Tindakan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya agama Islam terancam dan kaum Melayu terbiar di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan diselar.

Setiausaha Agung parti KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak tersebut juga gemar mengelirukan rakyat dengan membuat kenyataan yang bertentangan setiap kali agenda atau pengumuman kerajaan dibuat, dan mengaitkannya dengan aspek liberal, sekular mahupun Zionis.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri dalam Negeri (KDN) menggesa rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah mengelirukan itu yang semata-mata bermotifkan politik.

“Kita cerita agenda MADANI, dia cerita agenda sekular. Kita cerita noktah kemiskinan, dia kata tak boleh buat sebab ada instrumen zakat. Kita cerita tata kelola baik, dia kata ini agenda liberal.

“Ada tak di negara kita umat Islam disekat daripada mendirikan solat, menunaikan zakat atau mengerjakan rukun Islam iaitu haji? Tiada satu pun pemerintah melarang.

“Kalau ada orang Islam tak boleh dan disekat melaksanakan kewajipan fardu, itu (boleh dikatakan) Islam terancam,” katanya.

BACA LAGI: Belanjawan 2024 komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan martabat syiar Islam

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, sebagai menyokong ucapan dasar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung dakwaan Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Anwar menggesa pimpinan Islam di bawah Kerajaan Perpaduan supaya kerap turun padang bagi memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan dakwaan Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan.

Dalam ucapannya pada malam Sabtu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyatakan kekecewaan terhadap sikap pembangkang yang menanam persepsi Islam terancam dengan mengaitkan isu hukum syariah dicabar di Kelantan dan penganjuran konsert artis luar negara di Malaysia untuk menyerang kerajaan.

Sementara itu Saifuddin ketika menyentuh mengenai konsert Coldplay di ibu negara yang menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat, Saifuddin Nasution secara tegas mengatakan beberapa siri konsert juga pernah diadakan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu antaranya konsert penyanyi Amerika Syarikat, Billie Eilish.

“Bila anjur konsert zaman kita, ini (mereka kata Anwar) tak layak jadi pemimpin, liberal, muflis dan iman setipis bawang.

“Percayalah, dalam perkara yang kita sedang uruskan, tiada satu momen kita abaikan tumpuan dalam urusan kerajaan ini melainkan memikirkan soal bagaimana nak uruskan kebajikan dan bagaimana nak jamin pembelaan terhadap golongan rakyat khususnya the ‘most vulnerable group’,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button