Semasa

Bayi 18 bulan jadi korban pertama banjir di Kelantan

Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan menjadi korban pertama banjir di Kelantan selepas lemas akibat tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya.

Dalam kejadian di Kampung Kenari, di Kota Bahru semalam, mangsa dikatakan bermain di belakang rumahnya yang digenangi air susulan hujan lebat sebelum dikatakan tergelincir ke dalam sungai.

Mayat mangsa kemudian dijumpai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 1.40 tengah hari.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Muhammad Samsudin Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari.

“Pasukan PPDA (Pasukan Penyelamat di Air) yang melakukan selaman menemui mangsa dan dia disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya.

BACA LAGI: KPDN ambil langkah pastikan stok makanan asas mencukupi dikawasan terkesan banjir

Sementara itu,jumlah mangsa banjir di Kelantan dilapor terus meningkat kepada 718 orang sehingga malam tadi berbanding 623 orang petang tadi.

Kesemua mangsa daripada 204 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Bachok dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat seramai 354 orang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor (67 orang).

Di Pasir Mas pula, mangsa banjir ditempatkan di SK Tok Deh di Pasir Mas (232 orang) dan SK Kedai Tanjong seramai 65 orang.

MET sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu sehingga hari ini.

Hujan berterusan tahap buruk bagi tempoh sama turut diramal berlaku di Perak iaitu di Hulu Perak, Kelantan (Gua Musang) serta Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman).

Related Articles

Back to top button