Data peribadi rakyat Malaysia adalah selamat di bawah Identiti Digital Nasional
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi jaminan data peribadi rakyat Malaysia selamat menerusi pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN).
Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kementerian mengambil maklum tindakan pihak tertentu cuba menakutkan rakyat di media sosial mengenai pelaksanaan inisiatif itu sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pelaksanaan IDN bukan satu usaha atau dasar yang baharu sebaliknya telah diumumkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 2021.
“Jadi kita tidak perlu risau mengenai aspek keselamatan dalam IDN nanti.
“Saya sudah minta Jabatan Penerangan dan kementerian berkaitan untuk meningkatkan penerangan dan penjelasan mengenai IDN ini.
“Ramai yang menyatakan kononnya bagi setengah negara lain mereka tidak ingin lakukan tapi banyak negara sudah (melaksanakan) seperti Estonia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya selepas menyempurnakan Seminar Transformasi Digital dan Inovasi Malaysia-Jepun 2023 di Management and Science University (MSU), di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, banyak kebaikan boleh dinikmati seperti pengurangan kos bagi pembangunan aplikasi dan pembangunan IDN adalah dasar kerajaan untuk menyeragamkan proses daftar masuk (sign in) merentasi kementerian.
“Kita lihat setiap kementerian akan ada aplikasinya sendiri dengan pendaftarannya sendiri. Jadi maklumat atau pangkalan data itu dipegang oleh terlalu banyak pihak.
“Kita hendak selesaikan isu pendaftaran masuk, kedua isu keselamatan. Bila kerajaan menyediakan satu modul yang dapat digunakan oleh semua kementerian dan selepas itu boleh digunakan di luar juga oleh pihak swasta.
“Maka isu keselamatan data peribadi itu akan dapat dikawal dengan sangat rapi dan rapat.
“Ini diusahakan oleh pihak Mimos Berhad (Mimos) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis keselamatan Negara,” katanya.
Terdahulu, kerajaan meluluskan peruntukan awal RM80 juta kepada pembangunan IDN yang akan dilaksanakan Mimos iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu dalam usaha menyegerakan platform pengesahan diri yang dipercayai mampu mempertingkat lagi tahap kecekapan perkhidmatan awam.
Baca juga: