Speaker minta Ahli Parlimen kurang politik kepartian, tingkat kualiti perbahasan
Menjelang hari terakhir sidang Dewan Rakyat hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mahu Ahli Parlimen mengurangkan politik kepartian dan meningkatkan kualiti perbahasan pada sesi akan datang.
Johari berkata, setiap Ahli Parlimen bertanggungjawab mengetengahkan hasrat rakyat di kawasan yang diwakili dan tidak sepatutnya hanya menjadi ‘juara’ untuk parti politik masing-masing semasa dalam perbahasan.
“Suka saya ingatkan mereka (Ahli Parlimen) dibayar untuk datang ke Dewan Rakyat untuk berbicara tentang rakyat. Sebaik anda (Ahli Parlimen) masuk dalam (bersidang), itu hak waktu rakyat dan anda perlu berbicara tentang rakyat.
“Kalau kita mula jadi pelawak dalam parlimen, akhirnya masyarakat akan menyindirkan diri mereka daripada apa yang berlaku dalam parlimen…ini yang kita mahu elakkan,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.
Johari berkata, Ahli Parlimen juga perlu mempersiapkan diri dengan membaca mengenai perkara yang akan dibawa kepada Dewan Rakyat agar perbahasan akan menjadi lebih ‘cantik’ dan matang, sekali gus menjurus kepada perbincangan yang lebih substantif.
“Saya bagi contoh mungkin ada Rang Undang-Undang yang dibentangkan oleh menteri terdapat kelompongan, dengan hujah yang baik, menteri akan buat perubahan dan pindaan yang diperlukan berdasarkan pandangan yang diberikan,” kata Johari.
Untuk tujuan itu, Johari berkata pihak parlimen kini dalam proses mengadakan sesi latihan berkaitan cara menyediakan dan mengajukan soalan kepada Ahli Parlimen untuk sesi Dewan Rakyat akan datang yang dijadual pada Februari tahun hadapan.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pihaknya dalam proses menyediakan Parlimen Belia yang lebih sistematik bagi meningkatkan minat dan penglibatan golongan muda.
“Saya sedang sediakan kaedah bagaimana mereka boleh bertanding. Jumlah (Ahli Parlimen Belia) 222 juga, seperti mana dalam parlimen (Dewan Rakyat). Kita sedang melihat bagaimana masyarakat belia boleh terlibat untuk memilih Ahli Parlimen Belia (bagi kawasan masing-masing).
“Harapan kita setelah mereka masuk ke Parlimen Belia, balik esok mereka boleh menjadi ahli Dewan Rakyat yang betul dalam parti yang dia suka. Akhirnya, kita dapat melihat anak muda memenuhi parlimen dengan kualiti yang berbeza berbanding sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan parlimen tahun ini, Johari berkata antara yang menjadi kebanggaannya ialah pemerkasaan peranan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas yang berjaya mengadakan lebih 100 perjumpaan selain pembukaan parlimen kepada orang awam melalui penganjuran hari terbuka. – Bernama
Baca juga: