hiburan

Pasha Ungu sedia tanding kerusi Parlimen tahun depan

Pasha Ungu mengakui bersedia untuk bertanding kerusi Parlimen bagi calon Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Pilihan Raya Indonesia pada tahun hadapan.

Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 44, yang juga wakil Wali Kota atau Datuk Bandar Palu, berkata dia sudah melaksanakan tugas disandangnya dengan sebaik mungkin apabila menaik taraf kemudahan utama masyarakat seperti infrastruktur jalan raya, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya.

“Alhamdulillah, saya sudah pun selesaikan khidmat sebagai Wali Kota dan sekarang fokus kepada mewakili kerusi di Parlimen pula apabila kempen pilihan raya juga sudah saya jalankan sejak bulan lalu.

“Harapan saya, semoga ada peluang mewakili suara rakyat di Parlimen. Apapun, semuanya terserah pada pemilihan yang akan dibuat oleh rakyat, namun semoga ada rezeki saya,” katanya memetik laporan 30 Hits Timeless.

Pasha berkata, banyak perubahan baharu perlu dibuat untuk keselesaan dan kebahagiaan rakyat Indonesia berikutan era masa kini sudah berkembang maju dengan pengaruh teknologi yang meluas dalam kehidupan.

Terdahulu, Pasha bersama empat lagi anggota Ungu iaitu Enda selaku pemain gitar, Makki (bass), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) hadir pada sidang media konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur, semalam.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button