Nasional

Digital ID selamat, kebimbangan mengenai pelaksanaannya tidak berasas

Dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID akan menyebabkan rekod peribadi akan terbocor dan cip diimplan dalam tubuh individu, adalah tuduhan tidak berasas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tidak wajar mudah terpengaruh dengan dakwaan seperti itu dan seharusnya mendengar penjelasan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung pelaksanaan Digital ID tersebut.

Beliau turut menegaskan, dalam membicara soal transformasi digital, rakyat harus menerima kenyataan bahawa negara harus maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi.

“Apa takut isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan lepaskan rekod personal perbankan peribadi. Jadi yang itu dikawal.

“Kemudian juga kata kononnya ada cip masuk dalam badan dan sebagainya, itu semua tengok banyak sangat filem Hollywood,” katanya.

Perdana Menteri berkata begitu selepas melakukan pendaftaran Digital ID di Putrajaya pada Jumaat yang sekaligus menjadikan beliau individu pertama memiliki Digital ID berkenaan.

Turut membuat pendaftaran Digital ID selepas Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

BACA LAGI: Identiti Digital Nasional: Kerajaan tidak berhasrat ambil cap jari

Antara Jemaah Menteri yang turut mendaftar ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital tanpa menggantikan MyKad, bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna sekaligus mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa kerajaan buat masa ini tidak memaksa mana-mana individu untuk berdaftar dengan Digital ID.

Related Articles

Back to top button