Semasa

Inisiatif Payung Rahmah dapat sambutan, lebih banyak program untuk rakyat bakal dilaksana

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kekal komited berkhidmat untuk pengguna selain melindungi mereka dan industri menerusi penguatkuasaan mantap.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, inisiatif-inisiatif yang telah dilaksana kementerian itu sepanjang tahun ini telah mendapat sambutan baik dari rakyat.

“Objektif utama kita adalah memastikan rakyat tidak terlalu dibebani cabaran kesan kos sara hidup tinggi.

“Bagi menangani perkara ini, kami terus memperluas dan mengukuhkan inisiatif Payung Rahmah, merangkumi program seperti Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Bakul Rahmah,” kata Fuziah pada Simposium Kos Sara Hidup 2023 di Putrajaya pada Jumaat.

BACA LAGI: Selangor belanja lebih RM25 juta untuk pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah

Fuziah pada simposium itu turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, bekas menteri di kementerian berkenaan selain mengiktiraf peranan besarnya dalam memperkenalkan konsep Rahmah bagi mengurangkan beban rakyat.

“Sesuatu yang kita berfikir hanya mampu bertahan dua ke tiga bulan, dapat kita bertahan sehingga sekarang, di mana sebanyak 2,894 ‘outlet’ masih menawarkan Menu Rahmah.

“Beliau (Salahuddin) secara konsisten meletakkan rakyat diutamakan. Kami menjunjung legasinya dan akan terus memperkenalkan inisiatif tambahan bagi meringankan lagi beban rakyat,” tambah Fuziah.

Sementara itu beliau turut menyatakan lebih banyak siri inisiatif meringankan beban rakyat bakal dilaksana selepas ini.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan melalui Belanjawan 2024 memperuntukkan RM200 juta bagi inisiatif Payung Rahmah.

Related Articles

Back to top button