Garis panduan hidangan minuman bergula akan diwujudkan di majlis rasmi kerajaan – KKM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa ini bercadang untuk mewujudkan garis panduan hidangan minuman bergula dalam majlis rasmi kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara tersebut adalah bagi mengurangkan risiko penyakit kencing manis.
“Cadangan tersebut untuk air bergula, air kosong baik untuk kesihatan tapi air gula tinggi kita akan cuba untuk memberikan garis panduan.
“Ketika ini kita pun turut mengadakan kempen cukup satu sudu teh pengambilan minuman dan juga kebaikan mengurangkan kadar gula sangat sangat baik jaga kesihatan kita,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut melihat keperluan untuk meletakkan label kandungan gula di setiap makanan yang dibeli di pasaran.
Lukanisman turut mengulas mengenai Agenda Nasional Malaysia Sihat yang sentiasa proaktif meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi.
Menurutnya, di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat, Fasa 1 (2020-2022), penyebaran literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Yang kedua adalah program pemerkasaan kesihatan dalam komuniti melalui ‘Wellness Hub’ dan ejen kesihatan komuniti ‘MyChampion’ yang terdiri daripada sukarelawan Combi, kospen, ikon gigi, duta kenali ubat, wakil kesihatan kampung dan ahli panel penasihat.
“Yang ketiga adalah program temu seru ataupun ‘outreach’ melalui ‘Wellness on Wheel’ (WOW), yang meliputi 623 lokaliti di seluruh negara dan yang keempat adalah program promosi kesihatan melalui media,” katanya.
Baca lagi: