Digital ID selamat, tohmahan didalangi agenda Zionis mengarut
MIMOS Berhad sebagai agensi pelaksana MyDigital ID memberi jaminan bahawa inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian itu adalah selamat.
Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Berhad Dr Saat Shukri Embong dipetik berkata, tidak akan berlaku kebocoran data pengguna memandangkan agensi itu tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna.
Menuurt MIMOS, pelayan (server) mereka hanya berfungsi untuk tujuan memproses transaksi pengesahan seseorang individu secara dalam talian berpandukan pangkalan data kerajaan yang sedia ada seperti Jabatan Pendataran Negara sebelum mengeluarkan sijil digital penguna.
“Pangkalan data semua di bawah jagaan kerajaan, kami (MIMOS) tidak terima dan simpan data, kami tidak simpan sijil digital pengguna, kami tidak ada punca kuasa kerana semua ini dilindungi akta,” katanya.
Dr Saat berkata begitu ketika sesi taklimat berkaitan MyDigital ID bersama MIMOS di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya pada Rabu.
MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Ia diperkenal sebagai usaha memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.
BACA LAGI: Identiti Digital Nasional: Kerajaan tidak berhasrat ambil cap jari
MIMOS sementara itu menegaskan risiko kebocoran data peribadi termasuk ID pengguna dan kata laluan adalah minimum malah penggodam mungkin perlu mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk berbuat demikian walaupun dengan menggunakan komputer tercanggih.
“Jika berlaku pun, ia berkemungkinan besar disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri yang memberi ID dan kata laluan kepada individu lain termasuk penggodam,” jelasnya.
Menjelaskan bahawa sijil digital itu unik dan hanya dimiliki pengguna menerusi peranti masing-masing, Dr Saat berkata, sekiranya telefon seseorang individu hilang, atau dicuri, mereka boleh terus menghubungi talian penting MIMOS bagi memohon agar sijil digital berkenaan dibatalkan, sebelum pengguna perlu membuat pendaftaran semula untuk mendapatkan sijil digital baharu.
Beliau sementara itu menafikan MyDigital ID didalangi agenda Zionis atau Illuminati yang bertujuan mengawal kebebasan rakyat.