Semasa

3 agensi siasat insiden kebocoran data Perkeso – Fahmi Fadzil

Insiden kebocoran data melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini sedang disiasat, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.

Ditemui pemberita di Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat, Fahmi menjelaskan siasatan itu akan dijalankan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi

Tambahnya, pihaknya memberi masa kepada agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara tersebut.

“… kerana kadang-kadang maklumat yang dipaparkan dalam laman ‘dark web’, ia adalah maklumat lama yang telah ‘dibungkus’ semula dan dipersembahkan semula seolah-olah maklumat itu baharu.

“Tetapi saya akan dapatkan maklumat, dan insya-Allah pejabat saya akan keluarkan kenyataan kemudian,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pengguna media sosial pada 5 Disember lalu mendakwa data peribadi daripada Perkeso dibocorkan di sebuah forum.

Bagaimanapun menurut Fahmi, data yang dibocorkan adalah data lama yang “dibungkus semula” dan didakwa sebagai data baru.

BACA LAGI: Klip video sokong Israel: mengapa menteri dulu tak bertindak?

Semakan mendapati data tersebut – dikatakan sebagai “contoh” untuk data yang didakwa dibocorkan – mengandungi maklumat peribadi antaranya nama, alamat, nombor telefon, nombor kad pengenalan, kaum, gaji, nama majikan, jenis darah, rekod kesihatan dan nombor akaun bank.

Perkeso kemudian tampil mendakwa didakwa bocor itu adalah “amat diragui, tidak lengkap dan luput”, misalnya satu kelompok data menampilkan maklumat yang tidak pernah dikumpul Perkeso sejak penubuhannya pada 1971.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) pula memberi jaminan insiden itu tidak akan menjejaskan pencarum kerana data yang bocor merupakan data yang telah luput.

Sementara itu Fahmi mengingatkan agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memproses data agar sentiasa waspada terhadap serangan siber.

Beliau menambah agensi-agensi berkenaan juga disaran melaksanakan ujian dengan syarikat keselamatan siber bertauliah bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem keselamatan masing-masing.

Related Articles

Back to top button