Semasa

FAMA ambil maklum dakwaan beras berkualiti rendah, bakal jalankan siasatan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menjalankan siasatan terhadap dakwaan kononnya Beras Putih Tempatan (BPT) yang dijual di pasaran tidak berkualiti atau berkemungkinan dibungkus semula sebelum dijual ke pasaran.

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang tular di media sosial itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara itu benar.

“Saya akan arahkan FAMA untuk ambil maklum perkara ini dan lakukan siasatan mendalam berhubung isu yang dibangkitkan pengguna.

“Sebab melalui pengalaman lepas, dakwaan-dakwaan seperti ini ada yang asli dan ada juga yang palsu, jadi perlukan siasatan khusus dan mendalam supaya siasatan lapangan dapat dilakukan,” katanya pada satu sidang media di Ipoh semalam.

BACA LAGI: FAMA bakal bina 5,000 outlet baru mulai tahun hadapan

Aminuddin diminta mengulas satu tangkap layar seorang pengguna di laman media sosial Facebook IPOH STATION 18 AJERR yang mendakwa BPT diedarkan FAMA tidak mempunyai kualiti sama seperti sebelum ini, kerana mudah basi, tidak gebu dan lebih kusam.

Status dimuat naik pengguna Amira Amir pada 15 November lepas itu mendapat 157 komen dan lima perkongsian.

Aminuddin sementara itu memaklumkan, FAMA setakat ini diberikan bekalan mencukupi dan menerusi laporan diterima pihaknya, bekalan BPT mencukupi untuk keperluan rakyat negara ini.

“Setakat ini stok beras memang mencukupi dan kami boleh mengagihkan BPT kepada setiap outlet di bawah FAMA menerusi Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat serta menerusi Program Jualan Agro Madani,” katanya.

Related Articles

Back to top button