Semasa

Setahun pentadbiran Anwar, usaha benteras rasuah mula tunjuk hasil

Usaha membanteras rasuah sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan kejayaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara ukuran penting kepada usaha itu adalah tiada mana-mana kepimpinan kerajaan yang terlibat dalam salah laku rasuah setakat ini.

Malah kerajaan pimpinannya terus akan memperkukuh usaha mengekang aktiviti rasuah termasuk melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

“Memang ada sedikit kejayaan permulaan (banteras rasuah) dan saya katakan antara ukuran penting adalah pimpinan sehingga sekarang setahun (pentadbiran Kerajaan Perpaduan), belum ada bantahan ataupun pendedahan tentang salah laku dan rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan.

“Penurusan tugas dan seperti mana kita tahu dalam Kerajaan Madani, tatakelola adalah pokok utama dan pembanterasan rasuah mesti diteruskan,” tegasnya.

Anwar berkata begitu ketika ditemui pemberita ketika berkunjung ke Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

BACA LAGI: Kerajaan terus beriltizam benteras gejala rasuah

Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar); Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar); Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (PH-Bentong), menerima surat cara pelantikan sebagai ahli JKMR.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, mereka dilantik selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Anwar dan tempoh keahlian mereka berkuat kuasa mulai 9 Oktober lepas hingga 8 Oktober 2026.

Pelantikan itu selaras Seksyen 14 Akta SPRM.

Related Articles

Back to top button