KEADILAN tuntut Majlis Keselamatan PBB mansuh kuasa veto Amerika Syarikat

Amerika Syarikat (AS) telah memilih keputusan tidak wajar apabila menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.
Timbalan ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Razeef Rakimin berkata, parti itu menzahirkan rasa kecewa atas tindakan AS menolak resolusi gencatan senjata itu yang disokong 13 negara lain.
Tambahnya, sekutu rapat AS, United Kingdom (UK) sendiri memilih untuk berkecuali yang akhirnya membuktikan AS satu-satunya negara yang ingin meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Malah alasan diberikan AS bagi menggunakan vetonya sama sekali tidak dapat diterima.
“Alasan bahawa Israel mempertahankan diri juga tidak masuk akal. Mereka mempertahankan diri dari apa?
“Mempertahankan diri dari lebih 7,000 kanak-kanak dan 4,000 wanita yang telah mereka bunuh tanpa belas kasihan?” soalnya.
Konflik di Gaza setakat ini telah mengorbankan hampir 18,000 rakyat Palestin dengan kira-kira 70 peratus melibatkan kanak-kanak dan wanita, manakala hampir 50,000 yang lain cedera.
Penghuni kem pelarian al-Fara di selatan Tubas, bandar di timur laut Tebing Barat, Palestin pada minggu lalu menjadi sasaran tentera rejim Israel.
BACA LAGI: Amerika Syarikat hilang keabsahan juarai hak asasi manusia- ABIM
Sementara itu menurut Razeef, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu merapatkan hubungan dengan China dan Rusia sebagai kuasa besar dunia bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim.
“Melalui kenyataan China yang berang apabila bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin tersekat akibat pintu Rafah ditutup, kerjasama ini pastinya mampu menyegerakan pembukaan pintu Rafah agar semua bantuan kemanusiaan dapat disegerakan.
“Saya juga meminta rakyat Malaysia untuk terus menyuarakan isu Palestin termasuk menggunakan media sosial bagi menyuarakan bantahan pembunuhan beramai-ramai ini.
“Isu ini tidak patut reda di negara ini ketika hampir setiap hari rakyat di negara-negara Eropah turun ke jalan raya membantah keganasan tentera zionis Israel,” katanya.
Razeef turut memberitahu, KEADILAN mendesak supaya reformasi perlu dilakukan segera pada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memansuhkan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB agar setiap keputusan yang dibuat adalah adil dan tidak ada satu pihak lebih berkuasa daripada pihak yang lain.



