ekonomi

AHTV Tanjong Malim: PM Anwar harap kepakaran dan bakat tempatan dimanfaatkan

Kerajaan Perpaduan akan memberi dukungan yang diperlukan kepada pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak yang sedang giat diusahakan oleh Geely holding dan DRB-HICOM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen itu susulan pertukaran dokumen perjanjian usaha sama antara DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd pada Isnin.

“Pagi tadi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd. Encik Eric Li berhubung perancangan syarikat gergasi automotif tersebut menjadikan Malaysia sebagai hub strategik mereka.

“Saya tekankan supaya pelaburan yang dibuat di Malaysia perlu memberi manfaat kepada bakat dan perniagaan tempatan. Selain itu, Kerajaan komited untuk memberi dukungan yang berkaitan dan yang diperlukan kepada pembangunan Automotive Hi-Tech Valley yang sedang giat diusahakan oleh Geely dan DRB-HICOM ,” katanya menerusi ciapan di laman sosial X.

Difahamkan, petukaran dokumen itu susulan Perjanjian Kerjasama Utama ditandatangani pada Oktober 2023 yang telah menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama untuk projek berkenaan.

BACA LAGI: Geely bakal bangun AHTV di Perak, hasil lawatan PM ke China

Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM Tan Sri Syed Faisal Albar menandatangani perjanjian tersebut sebagai mewakili kumpulan manakala Geely Holding diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Li.

Turut hadir adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz dan usahawan YBhg. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

AHTV akan meliputi penyelesaian automotif dan mobiliti yang luas dan merangkumi seluruh rantaian nilai, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sepenuhnya, sehingga kepada pengeluar peralatan asal automotif bertaraf dunia dan kluster pembuatan.

Selain itu, AHTV juga akan menyokong perkhidmatan dalam ekosistem yang berkaitan, seperti logistik, latihan dan institusi pembelajaran dalam bandar pintar untuk industri automotif, kata kenyataan itu.

Sebuah syarikat usaha sama akan seterusnya memanfaatkan kekuatan dan kepakaran DRB-HICOM dan Geely Holding dalam membangunkan AHTV sebagai hab antarabangsa kenderaan generasi seterusnya di Malaysia.

Sementara itu menurut Anwar, Geely Holding berkongsi bahawa antara tarikan yang mendorong mereka untuk membawa pelaburan ke negara ini adalah hasil daripada manfaat hubungan perdagangan Malaysia dan negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah selain daripada pemilikan kepentingan dalam Proton.

Related Articles

Back to top button