Raja Permaisuri Agong berkenan menerima Darjah Kerabat Selangor
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima darjah kebesaran tertinggi Selangor, Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-78.
Darjah kebesaran dikurniakan Sultan Sharafuddin dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati di Balairung Seri Istana Alam Shah di Klang, hari ini.
Berkenan berangkat ke istiadat berkenaan adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim dan Exco Kerajaan Negeri.
Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati adalah anugerah tertinggi di negeri Selangor dan dizahirkan pada 1961 kepada kaum kerabat Diraja di Malaysia selain raja-raja negara lain sebagai penghormatan dan persahabatan akrab dengan Sultan Selangor.
Ia mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.
Terdahulu, pada istiadat pada 11 Disember lalu, Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kerabat (DKII) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Datuk Putra Tengku Azman Shah.
Baginda juga menganugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad Dato’ Yeoh Seok Hong.
Seramai 95 individu lain turut menerima darjah kebesaran dan pingat masing-masing dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri.
Baca juga: