Sektor pelancongan Sabah dijangka dapat manfaat dari Pelan Liberalisasi Visa
Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik keputusan Putrajaya mengenai kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk warga China dan India ke negara ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, langkah diperkenalkan itu akan memberi manfaat dalam usaha merangsang sektor pelancongan di Sabah terutama pada tahun-tahun akan datang.
“Ini bermakna lebih banyak ketibaan pelancong untuk Sabah yang akan memberi manfaat kepada perkhidmatan hotel, makanan dan minuman selain pengangkutan dan pusat beli-belah termasuk kedai cenderamata sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya dipetik Bernama.
BACA LAGI: KDN perkenal lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa
Pada 26 November lepas, kerajaan Persekutuan membenarkan kemasukan tanpa visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India tertaktuk kepada saringan keselamatan bagi rekod jenayah atau keganasan lampau.
Ia sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 perkongsian strategik antara Malaysia dan China tahun depan.
Selain menjana pendapatan negara, inisiatif itu juga untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam industri utama pelaburan dan pelancongan di rantau Asia.
Pada 29 November lepas, Liew semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah berkata negeri itu menyasarkan ketibaan 2.8 juta pelancong tahun depan yang dijangka menjana pendapatan RM5.6 bilion
Dengan pengecualian itu juga menurut Liew, ia ajab turut akan memberi manfaat kepada pengusaha dan ejen pelancongan terutama di negeri itu.