Sokongan penjawat awam kepada Kerajaan Perpaduan semakin pulih- Mat Sabu
Datuk Seri Mohamad Sabu yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu bertahan dan akan kekal mentadbir selepas Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16) akan datang.
Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) melontar keyakinan itu bersandarkan sokongan penjawat awam yang semakin baik terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Undi penjawat awam kepada kita (sebelum ini) begitu parah susulan wujud dakwaan kerajaan akan bertukar selepas pilihan raya (PRN) di enam negeri, tetapi (akhirnya) tidak terjadi pertukaran.
“Saya yakin selepas empat tahun (PRU16) kerajaan (Perpaduan) tidak (akan bertukar) dan penjawat awam akan bersama (menyokong) kita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di Bangsar South, Kuala Lumpur pada Sabtu.
BACA LAGI: KPKM jamin bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadhan, Aidilfitri
Sementara itu Mohamad menggesa pemuda AMANAH menjadi peneraju dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu .
Usaha itu jelasnya perlu dilaksanakan bersama-sama kekuatan Pemuda UMNO, bagi memulihkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di empat negeri berkenaan.
“Untuk bertapak kembali di Kelantan dan Terengganu khususnya, kita perlu bekerja erat serta kuat supaya UMNO kembali kuat. Tidak pernah saya cakap nak minta UMNO kuat tetapi ini fakta… sebab itu kebersamaan kita antara PH, UMNO, BN di negeri-negeri ini perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.
“Bukan ada formula dan teori payah sangat… kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK), kita hurung betul-betul. Pemuda, Wanita, WARDA (Wanita Muda AMANAH) semua turun bersama… insya-Allah, kita kembali memulihkan kedudukan di empat negeri,” tegas Mohammad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.