FAMA bakal bina 5,000 outlet baru mulai tahun hadapan
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membina 5,000 outlet FAMA di seluruh negara.
Outlet baharu dapat stabilkan harga barangan |
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pembinaan outlet tersebut yang dijangka bermula mulai tahun depan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pengguna, malah boleh menstabilkan harga barangan.
Ia juga jelasnya membantu petani dengan lambakan sayuran yang dapat dijual secara terus kepada pengguna menerusi outlet-outlet yang disediakan.
“Kabinet sudahpun lulus minggu lepas, tahun depan kita bina hingga 5,000 outlet, ertinya kerajaan akan ada lebih banyak dalam pasaran untuk menstabilkanan harga,” kata ketika menghadiri Majlis Bersama Peladang Zon Utara 2023 di Alor Setar pada Isnin.
Sementara itu Mohamad Sabu turut menyambut baik kempen Zero Late Delivery yang dianjurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan NAFAS.
Kempen tersebut jelasnya akan dapat membantu para petani dalam meningkatkan peratus tahap sara diri mereka dalam mengembangkan ekonomi negara.
Melalui kempen yang diperkenalkan, NAFAS menyediakan inisiatif merangkumi empat elemen utama antaranya untuk memastikan stok bahan mentah sentiasa tersedia, memastikan kilang beroperasi membuat baja bagi membolehkan stok dibawa ke Pertubuhan Peladang Kawasan.
Dua elemen lain adalah bagi memastikan pengangkutan tersedia untuk menyalurkan keperluan baja, serta meningkatkan kecekapan pengurusan dokumentasi bagi memastikan aliran tunai berkeupayaan menampung pembelian bahan mentah, pembuatan dan penghantaran baja.