Malaysia kutuk serangan rejim Israel terhadap Hospital Kamal Adwan
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam terbaharu tentera penceroboh lsrael ke atas Hospital Kamal Adwan di Gaza.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), serangan terhadap kemudahan kesihatan itu yang menjadi tempat perlindungan dan rawatan bagi rakyat Palestin adalah pembunuhan beramai-ramai.
Rejim Israel menurut Wisma Putra telah secara berterusan melakukan jenayah perang.
“Kepungan ke atas Gaza jelas adalah jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa. Ia melanggar hak asasi manusia iaitu hak untuk hidup dan hak untuk menentukan nasib sendiri.
“Tindakan memaksa orang awam berpindah serta cubaan menjadikan Gaza sebagai tempat yang tidak dapat didiami mesti ditamatkan,” tegas kementerian itu.
BACA LAGI: Serangan hospital di Gaza pencabulan terhadap Konvensyen Geneva
Melalui kenyataan sama, Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua cara yang ada untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan menamatkan penderitaan rakyat Palestin dengan segera, menurut kenyataan itu.
“Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa secara kolektif menangani krisis kemanusiaan yang semakin mendesak dengan menamatkan serangan Israel ke atas orang awam di Gaza.
“Rejim Israel tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa. Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah yang telah dilakukannya terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia tetap dengan pendirian bahawa serangan berterusan ke atas orang awam adalah jenayah perang dan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas perbuatan itu dan tindakannya menduduki wilayah Palestin,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, rakaman daripada Hospital Kamal Adwan menunjukkan mayat yang dibedung putih, berbaris di halaman perkarangan perubatan.
Saksi berkata, sesiapa yang cuba untuk melarikan diri daripada hospital tersebut akan ditembak oleh penembak tepat Israel.
“Pasukan pendudukan Israel telah mengepung hospital dari semua sudut. Kami menjadi sasaran tembakan dan peluru meriam,” kata Munir al-Bursh, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan di Gaza, bercakap dari dalam Hopsital Kamal Adwan.