Sulaiman Abdullah bukan sekadar peguam, namun seorang sahabat akrab – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkongsi kesedihan susulan berita pemergian bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah.
Melalui satu hantaran di laman sosialnya, Anwar menyifatkan Allahyarham bukan seorang peguam yang hebat, namun sebagai sahabat akrab yang setia mendampingi beliau dan keluarga khususnya di tahun-tahun dimana beliau melalui pengalaman gelap dan getir.
“Saya terima khabar yang amat sedih bahawa mantan Presiden Majlis Peguam Datuk Sulaiman Abdullah telah meninggal dunia.
“Beliau tidak hanya seorang peguam, malah juga seorang sahabat yang akrab di mana beliau bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir.
“Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa. Saya amat terkesan saat menerima berita ini tatkala masih di Tokyo untuk lawatan kerja,” katanya melalui hantaran tersebut.
BACA LAGI: Anwar Ibrahim pemimpin Islam ke-11 paling berpengaruh
Allahyarham Sulaiman menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun pada petang Isnin.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh anak lelakinya pelakon dan penulis drama Huzir Sulaiman.
Sepanjang kerjaya sebagai peguam, Allahyarham Sulaiman terlibat dalam kes-kes terkenal termasuk menjadi peguambela perbicaraan berprofil tinggi termasuk membabitkan Anwar pada era permulaan Reformasi.
Allahyarham Sulaiman juga merupakan peguam pendakwaan untuk kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta krisis Perlembagaan Perak susulan penyingkiran Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Sementara itu Anwar melalui hantaran itu turut menitipkan doa semoga keluarga Sulaiman.
“Mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan ruh almarhum diberi tempat yang istimewa di sisi Allah SWT,” tulis pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.