Pilihan raya PBT perlu diperhalusi sebelum buat keputusan – Dr Zaliha
Cadangan supaya kerajaan memulakan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur perlu diperhalusi secara mendalam sebelum keputusan mengenainya dibuat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya mengambil maklum cadangan berkenaan dan tidak menolak mengenai kepentingannya.
“Bagaimanapun, kita kena lihat apakah perkara yang penting yang perlu dilaksanakan di Kuala Lumpur.
“Sebenarnya, perkara ini di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Namun, kami akan berbincang dan tinjau perkara ini dengan lebih teliti,” katanya.
Pendirian itu dinyatakan beliau ketika ditemui pemberita selepas Sesi Taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur pada Selasa.
Terdahulu, Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai melontar cadangan tersebut dengan berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Pilihan raya PBT di Malaysia pernah dilaksana, namun digantung pada 1960-an dan diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana jawatan Datuk Bandar atau Yang Dipertua, termasuk Ahli Majlis PBT dilantik kerajaan negeri.
Dr Zaliha sendiri pada Isnin dilapor media sebagai berkata, perkara yang lebih mendasar dalam hal PBT perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
Antara yang perlu diberi perhatian antaranya adalah berhubung isu pemilihan AJK (jawatankuasa) dan tata kelola bagi JMB atau ‘Management Corporation’ bagi bangunan-bangunan strata di Wilayah Persekutuan.