Semasa

Rafizi mulakan podcast, cabar pengkritik untuk berdepan dengannya

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli merancang untuk memulakan program bual bicara podcast dikenali sebagai Yang Bakar Menteri (YBM) bermula 8 Jan 2024.

Menerusi satu catatan di laman Facebooknya, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, program itu bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengannya termasuk para pengkritik kerajaan.

“Saya telah merancang untuk memulakan podcast YBM (rasminya bermakna Yang Berhormat Menteri, tetapi podcast ini bermakna Yang Bakar Menteri).

“Podcast YBM terbuka kepada sesiapa sahaja – ahli akademik, penyokong kerajaan, rakyat biasa dan terutamanya aktivis maya pembangkang,” jelasnya.

Rafizi berkata peluang bersemuka di podcast yang dirakam pada sebelah malam itu bertujuan memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengan beliau tanpa menggunakan peruntukan kerajaan berbanding kemunculan di televisyen menggunakan wang rakyat apabila melibatkan ‘air time’.

Tambahnya, selain dari mereka yang ingin tampil secara sukarela untuk peluang ‘membakar’ menteri, beliau turut akan mencari aktivis-aktivis maya pembangkang yang banyak memainkan dakyah untuk tampil di program tersebut.

“Saya akan cari mereka, jemput dan beri peluang bersemuka. Mereka berpeluang membakar saya, saya juga berpeluang membakar mereka,” tambahnya.

Rafizi sementara itu menjelaskan, langkah tersebut adalah lebih baik dari budaya maki hamun dan pertikai perkara picisan seperti yang dibawa aktivis maya pembangkang sekarang.

BACA LAGI:Rafizi cabar pempengaruh YB Viral berdebat, bentang fakta kepada rakyat

Media sebelum ini melaporkan Rafizi telah menghantar surat jemputan kepada seorang pempengaruh dikenali sebagai “YB Viral” sebagai jurucakap undangan untuk bersamanya menyertai podcast tersebut

Pelawaan itu jelasnya sekiranya pempengaruh yang didakwa penyokong PN itu seorang yang berani.

“Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button