Semasa

NADMA arah JPBN/JPBD tingkat tahap kesiagaan hadapi sebarang kemungkinan

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) di beberapa negeri diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Arahan itu susulan amaran oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan berterusan tahap waspada di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

NADMA dalam Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana yang dikeluarkan semalam turut meminta JPBN dan JPBD memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM35.8 juta sebagai persedian hadapi banjir

“NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected],” menurut kenyataan itu.

Luruan monsun dijangka berlaku sehingga Isnin ini, yang berpotensi membawa hujan berterusan di timur Semenanjung, angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan, berdasarkan analisis model-model cuaca.

NADMA dalam laporan harian bencana hari ini memaklumkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam di negeri-negeri lain.

Penumpuan angin juga dijangka berlaku di Sabah sehingga 21 Dis 2023 yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang.

Sementara itu difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 PPS yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button