Semasa

Pendakwah jangan terburu-buru ikut sentimen politik – PM Anwar

Golongan pendakwah digesa supaya tidak terburu-buru dan mengikut sentimen politik dalam mengupas sesuatu perkara atau isu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai seorang ilmuan, mereka sepatutnya menyemak terlebih dahulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.

“Saya sampaikan bahawa pada masa itu sistem dan kerajaan dan raja yang zalim itu penyembah berhala ditolak oleh orang beriman termasuk tujuh pemuda yang kemudian berlindung di gua.

“Saya kata ada juga cerita yang disampaikan oleh golongan nasrani dan pada masa itu tentunya mereka ini kalau mengikut beberapa kitab tafsir, penganut agama nasrani itu kita sebutkan sekarang Kristian tetapi yang tauhid, percaya pada tuhan.

“Tetapi bila ditanya (oleh sesesorang) kepada seorang ustaz di Terengganu, dia kupas (jawab soalan) tanpa mendengar (konteks sebenar ucapan saya) terus dia kata pemimpin besar ini jahil, keliru dan menyesatkan dan mengatakan orang-orang ini sebagai orang Kristian.

“Baca dan dengar konteksnya dan kita sebagai seorang pendakwah jangan terburu-buru ikut sentimen politik,” katanya tanpa mendedahkan identiti pendakwah tersebut.

BACA LAGI: Ulama antarabangsa puji kelantangan Malaysia bela Palestin

Bagaimanapun ia dipercayai merujuk jawapan penceramah selebriti Azhar Idrus kepada soalan dikemuka seorang individu sebagai mengulas kenyataan Anwar semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri minggu lalu yang menyentuh surah Al-Kahfi dan tujuh pemuda Ashabul Kahfi.

Video Azhar Idrus yang tular itu kemudian dikritik ramai kerana ia dianggap dijawab secara melulu tanpa melakukan semakan terlebih dahulu terhadap kenyataan sebenar Anwar.

“Pertama semak dulu kenyataan itu benar atau tidak, keduanya kalau tidak (benar)… boleh tegur saya, saya boleh betulkan,” tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Related Articles

Back to top button