Semasa

Menteri tak kompromi terhadap pemilik sewa lesen, gaji pekerja asing 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberi amaran keras kepada pemilik premis perniagaan di Kuala Lumpur agar mematuhi segala peraturan khususnya melibatkan pekerja asing, yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Melalui satu kenyataan beliau berkata, mana-mana pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan itu berdepan risiko penarikan atau penggantungan lesen perniagaan masing-masing.

“Mereka (pemilik premis) perlu menggunakan saluran yang betul jika hendak mengambil pekerja asing dan perlu mengelak sama sekali menggaji pendatang tanpa izin

“Arahan telah diberikan kepada DBKL untuk melakukan pemantauan berkala terhadap perkara itu bagi memastikan isu seperti penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen yang sah dan pengambilan pekerja dalam kalangan pendatang tanpa izin dibanteras,” katanya.

Kenyataan itu menyusul serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia pendatang tanpa izin di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Sebanyak 1,101 warga asing kebanyakannya warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar ditahan di kawasan yang terkenal ddengan jolokan ‘Mini Dhaka’ itu.

BACA LAGI: Dr Zaliha atur pertemuan, selesai isu penduduk Kampung Setia Jaya

Difahamkan, operasi dilakukan ekoran aduan daripada orang awam yang rimas dengan perlakuan warga asing yang bertindak memonopoli premis perniagaan di kawasan itu dan bertindak besar kepala dengan penduduk tempatan, selain menjadikan kawasan itu seolah-olah perkampungan mereka.

Sementara itu Dr Zaliha dalam kenyataanya turut merakamkan penghargaan kepada pasukan PGA atas usaha dilakukan itu.

Related Articles

Back to top button