Semasa

Pekerja asing dianiaya: KSM akan panggil agensi terlibat

Sekumpulan warga Bangladesh yang dilapor dibawa masuk secara sah oleh agensi pekerjaan tetapi tidak diberi pekerjaan selama beberapa bulan bakal dibantu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kementeriannya akan memanggil agensi yang membawa mereka masuk dan majikan yang tertera pada dokumentasi mereka untuk disiasat.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah,” katanya.

Media pada Isnin melaporkan tindakan pihak polis yang menahan ratusan warga Bangladesh di Pengerang, Johor yang sebelumnya berjalan beramai-ramai untuk membuat laporan polis bahawa mereka tidak diberikan pekerjaan oleh ejen.

Kumpulan yang terdiri daripada 171 lelaki Bangladesh berusia antara 19 hingga 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru.

BACA LAGI: KSM-KDN bincang elak pertindihan kuasa berkaitan isu pekerja asing

Susulan itu bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia siasat ejen-ejen pengambilan pekerja yang didakwa tidak menyediakan pekerjaan kepada warga asing yang dibawa masuk.

Steven Sim sementara itu memaklumkan perjumpaan akan diadakan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk memperhalusi dan menambah baik dasar-dasar berkaitan pekerja migran.

Sementara itu kementerian juga akan membantu warga Bangladesh terbabit mendapatkan pekerjaan.

“Tindakan ini dilaksanakan atas dasar kemanusiaan memandangkan perkara ini sebenarnya di luar bidang kuasa kementerian.” jelasnya.

Related Articles

Back to top button