Sukan

Liverpool kembali gah di persada Liga Perdana Inggeris

Liverpool kembali semula ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Burnley di Stadium Turf Moor pada Rabu.

Tiga mata diraih The Reds selepas meninggalkan The Gunners pimpinan Mikel Arteta yang kurang satu aksi dengan dua mata.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mendahului permainan di arena lawan hasil jaringan seawal minit ke-6 Darwin Nunez, juga gol kelapannya musim ini dan yang pertama dalam 12 perlawanan sejak membolosi gawang Bournemouth ketika aksi Piala Liga pada 1 November.

Diogo Jota, yang kembali beraksi selepas sebulan rehat akibat kecederaan, melengkapkan kemenangan Liverpool pada minit ke-90 untuk memintas Arsenal, yang akan kembali merampas teraju liga jika menang ke atas West Ham esok.

Selepas seri menentang Manchester United dan Arsenal sebelum Krismas, kemenangan berkenaan penting buat Liverpool untuk bersaing merebut kejuaraan musim ini.

“Ia bagus. Ia mungkin akan berubah dan ia bukan satu masalah. Ia tidak sempurna tetapi kami berada di tempat sepatutnya.

“Sejujurnya 42 mata itu benar-benar menyenangkan,” kata Klopp selepas pasukan bimbingannya merampas kedudukan teratas.

Menghuni tangga kedua tercorot dan lima mata di bawah garis selamat, tuan rumah berpeluang mendahului permainan menerusi Zeki Amdouni, tetapi percubaannya tersasar.

Burnley kini mengumpul sebelas mata, dua mata di depan pasukan tercorot, Sheffield United.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button